Dewan Senaman SITC

Dewan Senaman SITC adalah tempat penuntut SITC melakukan riadah seperti senaman, gimnastik dan acara sukan dalaman. Di samping itu, pada malam hujung minggu turut diadakan tayangan wayang gambar sebagai hiburan di samping merehatkan minda penuntut-penuntut SITC. Pada zaman darurat, bangunan ini pernah dibedil dengan mortar oleh pengganas komunis. Peristiwa tersebut berlaku pada 23 Oktober 1951. Serangan tersebut telah mengejutkan penuntut-penuntut yang sedang menonton tayangan gambar Inggeris. Walau bagaimanapun, serangan tersebut tidak mendatangkan kemalangan jiwa, hanya mengakibatkan kerosakan kecil kepada tiang bangunan ini kerana serangan tersebut sebenarnya ditujukan kepada pasukan “Home Guard” yang berkawal di luar kawasan maktab. Kini, bangunan ini dikenali sebagai Galeri Seni UPSI yang mempamerkan lukisan dan karya-karya seni pelajar UPSI dan penggiat seni tanah air.