Rumah Pengetua SITC

Rumah Pengetua SITC yang dikenali sebagai Rumah Tamu ini dahulunya pernah dijadikan rumah kediaman O.T. Dussek, Pengetua SITC berbangsa Inggeris yang pertama. Rumah ini dibina dua tingkat, iaitu bahagian bawah diperbuat daripada batu-bata sementara bahagian atasnya diperbuat daripada kayu. Ia terletak di bahagian selatan sekali berhampiran dengan Sungai Bernam. Semasa Perang Dunia Kedua, Bangunan SITC termasuk Rumah Pengetua SITC dijadikan sebagai Hospital Tentera British dan kemudiannya setelah tentera British berundur, ia dijadikan sebagai Markas dan Hospital Tentera Jepun. Setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua, rumah ini dipercayai terbiar dan tidak berpenghuni sehingga tahun 2002. Rumah ini diubah suai dan dicat baru buat pertama kalinya pada tahun 2002 untuk dijadikan sebagai kediaman sementara Naib Canselor UPSI yang ke-3, Tan Sri Dr. Muhammad Rais bin Abdul Karim. Naib Canselor UPSI yang ke-4 iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Aminah binti Ayob pernah mendiami rumah ini dari tahun 2008 hingga tahun 2011. Sekarang dijadikan sebagai rumah tetamu universiti dan juga sebagai tempat untuk menganjurkan kegiatan sosial kakitangan universiti seperti majlis tahlil, mesyuarat, perjumpaan alumni dan sebagainya.