Bangunan Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM)
Bangunan ini pada awalnya dikenali sebagai Sekolah Latihan SITC, kemudiannya ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM). Bangunan SKTM ini diperbuat daripada kayu dan menyerupai reka bentuk sekolah zaman penjajahan British. Sekolah tersebut dibuka pada tahun 1930, yang diketuai oleh guru besar bernama Cikgu Lembang. Anak-anak muridnya terdiri daripada anak-anak pensyarah, pekerja dan penduduk tempatan. Sekolah ini menjadi sekolah latihan mengajar penuntut-penuntut SITC sebelum ditempatkan untuk mengajar di sekolah-sekolah di seluruh negara selepas tamat pengajian. Sekolah Latihan ini kemudiannya dikelolakan oleh pihak Maktab Perguruan Sultan Idris. Pada tahun 1989, SKTM telah berpindah bangunan baru di Jalan Ketoyong di satu kawasan seluas 8 hektar. Bangunan lama sekolah tersebut masih dikekalkan hingga sekarang dan diambil alih oleh UPSI.