Bangunan Suluh Budiman
Universiti Pendidikan Sultan Idris pada awalnya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC). Bangunan Suluh Budiman yang merupakan bangunan induk SITC mula dibina pada Ogos 1919 dan siap sepenuhnya pada Jun 1922. Reka bentuk bangunan ini adalah berunsurkan seni bina Belanda ala Gothic zaman pertengahan dan dapat dilihat dengan jelas reka bentuk binaan bangunan seperti Gereja Notre-Dame di Perancis dan Salisbury di England. Secara amnya bangunan ini memperlihatkan satu struktur bangunan yang besar, mewah, megah serta mempunyai ciri-ciri keagamaan. Pelan bangunan ini dilakar oleh seorang arkitek terkenal dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bernama Kesteven.
Tukang yang membinanya dibawa dari Tanah Jawa dan juga buruh mahir berbangsa Cina dan India. Bangunan setinggi dua tingkat ini memiliki keluasan lantai 3,239 meter persegi. Ia mempunyai dua baris bangunan iaitu bangunan hadapan dan bangunan belakang yang terdiri daripada dua belah sayap (kanan dan kiri) dalam bentuk huruf “H”. Tingkat atas bangunan ini pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran SITC yang menempatkan pejabat pengetua, pejabat kakitangan, bilik mesyuarat, pejabat am, pejabat karang mengarang dan perpustakaan. Bahagian bawah bangunan ini pula terdiri daripada bilik darjah dan dewan utama yang digunakan untuk perhimpunan bulanan atau majlis rasmi kolej. Bangunan ini secara keseluruhannya dibina dengan menggunakan kaedah pembinaan dinding bata galas beban, manakala lantainya pula menggunakan kayu dan simen. Kepingan kaca bercorak memberikan pencahayaan semula jadi yang jelas pada waktu siang. Bumbung asal bangunan ini menggunakan genting Cina tetapi telah ditukar kepada bumbung genting simen. Dinding luar lepa batu kerikir atau dikenali sebagai dinding berkerutu. Semasa Perang Dunia Kedua, bangunan ini dijadikan markas dan hospital tentera Jepun.
Bangunan Suluh Budiman ini telah digazetkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 14 Februari 2009 dan semua kerja-kerja baik pulih dan konservasi ke atas bangunan ini perlu mendapat kebenaran dan dipantau oleh Jabatan Warisan Negara. Pada 24 Ogos 2009, kerja-kerja konservasi bangunan, pengisian ruang pameran dan pengisian infrastruktur yang menepati kehendak permuziuman telah dilaksanakan. Muzium ini siap sepenuhnya pada bulan Mac 2011 dan upacara perasmian diadakan pada 19 Julai 2011 yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun. Muzium ini mempunyai satu ruang pameran bertema dan 20 ruang pameran kekal.