Tiang Kesan Tembakan Komunis
Pada zaman darurat sekitar tahun 1948 hingga tahun 1960, Tanjong Malim dan kawasan sekitarnya telah menjadi sarang pengganas komunis. Kejahatan dan kekejaman komunis boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari yang mana melibatkan ugutan terhadap penuntut-penuntut SITC dan penduduk Tanjong Malim, serangan bom mortar di kawasan SITC, tembak menembak di kampung, serangan ke atas pasukan polis Tanjong Malim,letupan bom di depoh minyak kepunyaan Syarikat Bas Mogah, membakar bas dan lain-lain lagi. Pada tiang ini terdapat kesan tembakan yang dilepaskan oleh pengganas komunis ketika kejadian tembak menembak dengan pasukan Home Guard SITC pada 1 Februari 1952. Seramai 20 Orang pengganas komunis telah melepaskan tembakan ke arah pondok Home Guard SITC lalu mengakibatkan kerosakan pada pondok dan tiang tersebut, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.